CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday 21 May 2012

Jom ke Melaka..Tempat-Tempat Menarik di Melaka

Setelah kita mempelajari tentang Melaka. Di sini saya ingin kongsikan serba sedikit kawasan pelancongan Melaka yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Terdapat banyak tempat boleh dilawati, ini adalah cetusan sejarah yang kita telah pelajari sebelum ini. Alangkah seronoknya apabila anda dapat datang ke Melaka untuk menikmati atau merasai sendiri semangat sejarah negeri Melaka itu sendiri.

Melaka memiliki pelbagai tempat yang menarik untuk dilawati. Senarai tempat-tempat tersebut seperti di bawah:


Perkampungan Portugis


Perkampungan Portugis juga dikenali sebagai Mini Lisbon. Ia terletak 5km dari Bandar Melaka iaitu di Ujong Pasir, Melaka. Perkampungan ini mempunyai kira-kira 1,500 orang yang terdiri daripada 116 buah keluarga yang berbangsa Portugis dan mula bertapak di Melaka pada tahun 1930.


Perkampungan ini meliputi keluasan 13 ekar dengan 8 ekar daripadanya terdiri daripada penempatan penduduk dan selebihnya telah didirikan sekolah, padang dan taman permainan kanak-kanak. Ia merupakan sebuah perkampungan yang unik mengenai kehidupan masyarakat Portugis pada abad ke-16 dan mereka masih mengamalkan bahasa, budaya, lagu dan tarian Portugis sehingga hari ini.

Kota A' Famosa



Kota A'Famosa merupakan pintu gerbang kubu di Melaka. Pintu gerbang ini merupakan peninggalan portugis dan sebuah kubu yang begitu mantap pada suatu masa dahulu. Kubu ini dahulu mempunyai tembok yang panjang dan empat menara utama. Salah satu daripadanya ialah menara utama empat tingkat, manakala yang lain merupakan bilik simpanan senjata, kediaman kapten dan juga kuarters pegawai. Kubu ini bertukar tangan pada tahun 1641 apabila orang Belanda berjaya mengusir Portugis dari Melaka. Mereka telah mengubah suai pintu gerbang tersebut pada tahun 1670. Kubu ini mengalami kerosakan struktur yang teruk semasa pencerobohan Belanda. Apabila ia bertukar tangan kepada pihak British, mereka amat berwaspada mengenai pengekalannya dan mengarahkan kubu itu dimusnahkan. Ia hampir musnah keseluruhannya apabila Sir Stamford Raffles yang melawat Melaka dan campur tangan untuk menyelamatkan pintu gerbang daripada dimusnahkan kerana minat beliau terhadap sejarah.

Pulau Besar


Pulau Besar mempunyai keluasan kira-kira 168 hektar dan merupakan pulau yang terbesar sekali di Melaka. Ia merupakan sebuah pulau di luar pantai Melaka. Terletak 15km daripada Bandar Melaka serta dihubungkan melalui pengangkutan air. Terdapat kemudahan feri disediakan di antara Tanah Besar iaitu di Jeti Anjung Batu dan juga kemudahan bot yang boleh disewa di Jeti Umbai, Melaka. Banyak lagenda dikaitkan dengan pulau ini. Pulau Besar dari jauh kelihatan seperti seorang wanita hamil yang sedang berbaring.

Pulau Besar dikatakan penuh dengan sejarahnya yang menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara khususnya bagi mereka daripada keturunan India Muslim Malaysia dan Singapura. Di antara tempat pelancongan yang menjadi tumpuan adalah seperti Makam Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail, Makam Syarifah Rodziah, Makam Saiyid Ibrahim (R.A), Batu Tengkorak, Pokok Disula, Tasik Biawak, Batu Belah, Keramat Masin Tawar, Istana Bunian, Perkampungan Bunian, Gua Yunus, Keramat Ular, Makam Nenek Kebayan, Makam Tok Janggut, Makan Seribu, Makam Tujuh Beradik, Makam Nisan Satu, Tapak Kaki Sultan Arifeen dan sebagainya. Pulau ini dianggap suci oleh orang-orang tempatan dan pelancong dinasihatkan untuk berkelakuan baik apabila berada di pulau ini.

Perigi Hang Tuah




Perigi Hang Tuah yang terletak di Kampung Duyong dikatakan digali oleh Hang Tuah untuk kegunaannya sendiri semasa beliau membesar di kampung tersebut. Pada asalnya perigi ini adalah kecil, tetapi lama-kelamaan menjadi besar dan dalam. Perigi ini dikatakan tidak kering, walaupun di musim kemarau dan airnya dikatakan sentiasa jernih dan dapat menyembuhkan penyakit. Ada juga cerita bahawa perigi ini tempat tinggal roh Hang Tuah yang menjelma sebagai seekor buaya putih. Ia dikatakan bahawa orang biasa tidak dapat melihat buaya ini dan hanya orang-orang alim sahaja yang dapat melihat jelmaan ini.

Perigi Hang Li Poh
Perigi Raja (Perigi Hang Li Po) ini dibina pada tahun 1459 dibawah arahan Sultan Mansor Shah kepada isteri beliau, Puteri Hang Li Po, seorang puteri dari negara Cina. Perigi ini tidak pernah kering dan merupakan satu-satunya punca air semasa musim kemarau. Pihak Belanda membina tembok disekelilingnya pada tahun 1677 untuk memeliharanya sebagai perigi permintaan (wishing well). Ada yang berkata bahawa mereka yang melontar duit syiling ke dalamnya akan kembali ke Melaka pada masa depan. Perigi ini terletak di Jalan Puteri Hang Li Po.

Makam Hang Tuah



Hang Tuah merupakan seorang pahlawan Melaka di mana kisah keberaniannya terbukti apabila semasa remaja lagi dengan tanpa bantuan sesiapa, beliau telah dapat menangkap seorang lelaki yang mengamuk di Kampung Duyong. Kehebatan ini sampai ke telinga Sultan dan Hang Tuah dipanggil ke istana untuk dijadikan pahlawan termuda berkhidmat dengan Melaka. Kebolehannya yang cemerlang membuatkan beliau bersama empat sahabatnya legenda dalam sejarah Melaka.

Walaupun terdapat beberapa hikayat bahawa Hang Tuah hilang begitu sahaja dan terdapat yang mengatakan Hang Tuah meninggal dunia di Perak. Sejarah Melayu daripada tulisan Tun Seri Lanang, yang dianggap sahih dalam pengisahan Sejarah Melayu, mengatakan Hang Tuah meninggal dan dikebumikan di Tanjung Kling dengan penuh adat istiadat.

Makam Hang Jebat


Makam Hang Jebat bertempat di Kampung Pali, berdekatan Jalan Gelanggang di Bandar Melaka. Hang Jebat merupakan seorang wira terkenal semasa Kesultanan Melayu Melaka. Beliau merupakan salah seorang daripada empat sahabat rapat Hang Tuah.

Namun begitu, Hang Jebat akhirnya dibunuh oleh Hang Tuah dalam pergaduhan yang memakan masa 3 hari dan 3 malam. Demi keadilan terhadap hukuman Sultan yang berat sebelah ke atas Hang Tuah, Hang Jebat dituduh sebagai seorang penderhaka kepada Sultan. Perbalahan ini menimbulkan tanda tanya tentang moral Hang Jebat terhadap pihak berkuasa dan mengenai Hang Tuah yang menurut perintah Sultan walaupun kesalahan Hang Jebat ialah untuk membela nasib Hang Tuah.

Makam Hang Kasturi



Hang Kasturi merupakan salah seorang pahlawan lima bersaudara yang terdiri daripada Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Reka bentuk Makam Hang Kasturi banyak dipengaruhi seni bina India, yang mana terdapat ruang-ruang untuk menempatkan pelita untuk menerangi makam tersebut. Makamnya juga dalam bentuk bertingkat sederhana besar, tidak seperti makam-makan berukuran panjang yang dianggap keramat.

Makam Tun Teja


Tun Teja atau Tun Teja Retna Benggala adalah anak kepada Seri Amar Diraja, Bendahara Negeri Pahang. Beliau sebenarnya tunangan Yang Dipertua Pahang, Sultan Abdul Jalil. Mengikut Sejarah Melayu, Tun Teja telah dilarikan dari Negeri Pahang dan diyakinkan oleh Hang Tuah untuk mengahwini Sultan Mahmud Shah. Hasil perkahwinan ini, baginda telah dikurniakan Putera Amar Dewi. Semasa Sultan Mahmud Syah berundur dari Melaka ke Bentayan (Muar) akibat serangan Portugis, Tun Teja mangkat dan dimakamkan di sini dengan penuh kehormatan.

Perkuburan Belanda


Kubur Belanda yang terkenal ini terletak di Bandar Hilir bersebelahan dengan Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka. Kubur ini digunakan pada akhir suku kurun ke-17 dan mempunyai 5 kubur Belanda dan 33 kubur British di dalam kawasan ini. Tanah perkuburan ini digunakan pada dua peringkat iaitu di antara 1670-1682 dan 1818-1838. Di antara kubur yang menjadi tarikan ialah kubur yang mempunyai menara yang tinggi yang mana merupakan kubur dua orang pegawai yang mati semasa Perang Naning.

Pancuran Air Ratu Victoria


Pancuran air ini dibina pada tahun 1904 sempena memperingati pemerintahan jubli Ratu Victoria. Terletak di tengah-tengah Dataran Belanda, Pancutan Air Ratu Victoria ini masih lagi berfungsi dan telah menjadi tumpuan utama para pengunjung yang datang melawat bandaraya bersejarah ini.

Bukit St. John


Kubu St. John telah dibina oleh orang Belanda pada 1760 untuk melindungi daripada serangan daripada arah darat. Pada masa itu, orang Melayu yang gelisah sudah mengatur langkah untuk cuba menyerang Melaka. Inilah sebabnya Kubu St. John mempunyai satu ciri yang tersendiri iaitu meriam yang menghadap ke pedalaman. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa meriam yang menghadap ke laut. Kubu ini yang terletak di atas Bukit Senjuang merupakan tapak gereja kecil yang ditujukan kepada John the Baptist. Pada masa ini, perayaan St. John the Baptist masih diraikan oleh orang Katolik pada 23 Jun dengan penyalaan ribuan lilin di rumah-rumah di bandar ini

Makam Dol Said


Dol Said atau nama penuhnya Dato Abdul Said merupakan seorang pemerintah kesembilan Naning di Melaka. Beliau membantah pengenaan cukai ke atas daerahnya oleh British dan ini menyebabkan konflik yang dikenali sebagai Perang Naning, yang berlaku pada 1831. Beliau menggunakan kebijaksanaannya dan dengan bantuan daripada perikatan Melayu yang lain, termasuk Seri Menanti, Sungai Ujong, Johol dan Muar, beliau telah dapat mengalahkan pihak British dalam serangan pertamanya.

Dalam serangan kedua, Naning tidak berjaya mendapat bantuan daripada jiran-jirannya malah Yam Tuan Muda Raja Ali di Rembau membantu pihak British dengan menghantar 600 orang bagi mengukuhkan tentera mereka. Dol Said terpaksa berundur ke Sri Menanti dan seterusnya menyerah kalah, sekali gus mengakhiri perang tersebut. British menggabungkan Melaka dan Naning dan Dol Said diberikan tempat tinggal di Melaka. Dol Said dan orang Naning telah dikhianati oleh orang Melayu Rembau. Cerita Perang Naning ini tidak dibesar-besarkan walaupun orang Melayu yang memenangi Perang Naning Pertama dan British pada masa itu merupakan kuasa dunia yang sebenarnya. Perang ini menjadikan Dol Said seorang wira dalam sejarah Melayu.

Tedapat banyak lagi tempat pelancongan yang bersejarah di Melaka.. Jom ke Melaka. Pembelajaran akan lebih menarik apabila anda melihat sendiri.

Sejarah Melaka


KRONOLOGI MELAKA


Tahun 1396


Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dari Siam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.

Setelah tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Baginda telah bertanyakan nama pohon tempat baginda bersandar dan pengikutnya memberitahu bahawa nama pohon tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah membuat keputusan untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.

Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini.

Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur. Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah Melayu.
Mengikut riwayat Sejarah Melayu, Parameswara merupakan putera raja Palembang kurun ke empat-belas yang melarikan diri dari musuhnya iaitu orang-orang Jawa. Baginda telah melarikan diri ke Temasik (sekarang dikenali sebagai Singapura) dan menjadikan dirinya sebagai raja. Tidak lama kemudian, baginda dihalau dari Temasik oleh penjajah dari Siam dan dengan pengikut-pengikutnya sampai ke pantai barat Semenanjung Tanah Melayu untuk mencari tempat untuk berselindung. Pada mulanya mereka menjadikan Muar, Johor sebagai tempat untuk bermastautin tetapi keadaannya tidak sesuai kerana terdapat terlalu banyak biawak. Baginda kemudian memilih tempat kedua untuk membina istana tetapi ianya tidak berkekalan.

Parameswara kemudian menjelajah ke tempat lain. Dalam satu rombongan memburu, baginda sampai ke sebuah sungai bernama Bertam. Di sana, beliau terlihat seekor kancil yang dikejar oleh anjing-anjing pemburu baginda telah menendang salah seekor daripada anjingnya jatuh ke dalam sungai. Baginda amat terkejut dengan keberanian kancil tersebut dan dengan serta-merta menamakan tempat tersebut dengan nama Melaka, sempena dengan nama pokok di mana baginda sedang berteduh.

Kesultanan Melaka memerintah negeri Melaka selama 110 tahun sehingga ditewaskan oleh pihak Portugis pada tahun 1511

Kurun Ke 15

1400 - Parameswara, putera raja dari Palembang, setelah ditumpaskan oleh Majapahit menuju ke Temasik (nama asal Singapura) dan akhirnya membuka negeri Melaka.

1403 - Laksamana Yin Ching dalam misi perdagangannya telah singgah di Melaka dan menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan China - Melaka.

1405 - Parameswara menghantar utusannya ke China bagi mengukuhkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin.

1409 - Laksamana Cheng Ho (Zheng He), ketua Armada perdagangan China dan para pembesar tiba di Melaka bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

1411 - Parameswara diiringi pembesar Melaka dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang serta ditemani oleh Laksamana Cheng Ho belayar untuk melawat Yung Lo, Maharaja dinasti Ming di Cina.

1414 - Parameswara berkahwin dengan Puteri Pasai. Baginda memeluk agama Islam dan memakai gelaran Sultan Iskandar Shah (1414-1424).

1424 - Parameswara mangkat dan anakandanya, Sri Maharaja, menaiki takhta dan menukar namanya menjadi Sultan Muhammad Shah (1424-1444). Baginda telah memerintah mengikut ajaran Islam, mengasaskan etika istana dan menyebarkan Islam.

1444 - Raja Ibrahim, putera bongsu Sultan Muhammad Shah, menjadi pemerintah selepas kemangkatan ayahandanya.

1445 - Raja Ibrahim dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran Sultan Abu Syahid.

1446 - Raja Kassim, kekanda Sultan Abu Syahid, menaiki takhta dan memakai gelaran Sultan Muzaffar Shah (1446-1458) dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri.

1447 - Serangan Siam yang pertama ke atas Melaka berlaku, tetapi disekat oleh angkatan perang Melaka. Pihak Siam ditewaskan tidak jauh dari Muar.

1456 - Tun Perak dilantik menjadi Bendahara atau Perdana Menteri dengan gelaran Bendahara Paduka Raja. Beliau menjadi terkenal kerana pentadbiran yang baik dan bertanggungjawab dalam memajukan Melaka. Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.

1458 - Sultan Mansur Shah menaiki takhta. Maharaja China menghantar Laksamana Cheng Ho yang membawa Puteri Hang Li Po dan dikahwinkan dengan Baginda. Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpateh Puteh dengan segolongan pengiring ke negeri Cina untuk mengiring Hang Li Po.

1477 - Sultan Mansur Shah mangkat dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) menaiki takhta pada umur 15 tahun. Baginda merupakan seorang yang tegas dalam melaksanakan tugasnya.

1488 - Sultan Alauddin diracun mati di Pagoh. Kemudian Sultan Mahmud Shah (1488-1511) menaiki takhta atas jasa Tun Perak dan juga Hang Tuah.

1498 - Tun Perak meninggal dunia.

Kurun Ke 16
1500 - Tun Mutahir, sepupu Tun Perak, dilantik sebagai Bendahara bergelar Bendahara Seri Maharaja dan menjadi bendahara yang paling berkuasa di kalangan para pembesar kesultanan Melaka.

1509 - Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di rantau Asia Tenggara. Atas sebab perselisihan faham, angkatannya diserang oleh Melaka dan 20 anak kapalnya ditahan oleh orang tempatan.

1510 - Bendahara Tun Mutahir dan keluarganya dibunuh atas titah Sultan Mahmud Shah kerana beliau enggan menyerahkan anaknya Tun Fatimah kepada baginda. Menyedari kesilapannya, Sultan Mahmud Shah turun takhta untuk sementara waktu dan digantikan oleh anaknya, Sultan Ahmad Shah.

1511 - Alfonso D’Albuquerque, wizurai Portugis di Goa, tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan membina sebuah markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh sultan. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Semenjak itu, Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.

1512 - Albuquerque kembali ke Goa pada bulan Januari selepas menyiapkan A Famosa, kota kubu yang mempunyai ketinggian menara 5 tingkat. Kemudian Sultan Mahmud Shah menyerang Portugis di Melaka.

1513 - Patih Unus, seorang pahlawan Jawa yang kemudiannya menjadi Sultan Demak di Sumatera, menyerang Portugis di Melaka.

1516 - Laksamana Hang Nadim, anak kepada Hang Tuah, menyerang Melaka.

1518/19 - Askar-askar Sultan Mahmud Shah mengepung bandar Melaka selama 3 bulan.

1523 - Sultan Mahmud Shah menyerang Melaka.

1524 - Laksamana Hang Nadim mengepung Melaka dan memotong bekalan makanannya.

1537 - Serangan orang Acheh yang pertama ke atas Portugis di Melaka.

1545 - Paderi Francis Xavier tiba di Melaka buat pertama kalinya. Selepas itu beliau telah melawat Melaka sebanyak 5 kali.

1551 - Gabungan Johor, Japara dan Perak telah menyerang Melaka dan mengepungnya selama 3 bulan.

1553 - Paderi Francis Xavier mati di Pulau Sanction berdekatan dengan Canton, Cina dan dikebumikan di Gereja St. Paul. Selepas 9 bulan, mayatnya telah dialih dan dikebumikan di Goa.

1567/68 - Dengan pertolongan Johor, Acheh menyerang kubu Portugis di Melaka. Namun, sekali lagi mereka telah dikalahkan.

1571 - Acheh membuat percubaan untuk menyerang Portugis di Melaka, tetapi percubaan mereka sekali lagi gagal kerana ribut taufan yang melanda.

1575 - Japara telah menyerang kubu Portugis di Melaka.

1585 / 86 - Johor telah menyerang Melaka.

1588 - Pelawat Inggeris yang pertama bernama Ralph Ritch telah tiba di Melaka.

1597 - Belanda menyerang Melaka.

Kurun ke 17

1606 - Gabungan Belanda dan Johor menyerang kubu pertahanan Portugis di Melaka. Walaupun begitu, pasukan bantuan askar Portugis yang tiba tepat pada masanya dari Goa dapat menyelamatkan Melaka.

1615 / 16 - Acheh melancarkan serangan sekali lagi ke atas Melaka.

1628 / 29 - Acheh berkuasa ke atas Melaka selama 8 bulan sebelum berundur.

1636 - Kapal Belanda memusnahkan kapal-kapal Portugis di pelabuhan Melaka.

1641 - Belanda dan orang Melayu Johor sekali lagi menyerang. Selepas pertempuran yang sengit, Portugis diarahkan untuk menyerah kalah. Belanda kemudian memerintah Melaka selama 154 tahun.

1645 - Tokong Cheng Hoon Teng telah dibina oleh Ketua orang Cina, Lee Wei King. Ia adalah tokong tertua yang masih wujud lagi di Malaysia.

1645 / 70 - Perang dalaman berlaku antara Belanda dengan Naning

1650 - Stadthuys atau “Rumah Negeri”, tempat tinggal bagi Gabenor Belanda yang juga menjadi pusat pentadbiran telah dibina.

Kurun ke 18

1710 - Gereja St. Peter, sebuah Gereja Kristian di Malaysia dibina oleh Belanda. Ia mempunyai reka bentuk gabungan Timur dan Barat.

1753 - Gereja Christ siap dibina.

1756 - Orang Bugis yang diketuai Oleh Daing Kamboja, menyerang Melaka.

1784 - Raja Haji telah mendarat di Melaka tetapi kemudiannya dibunuh.

1795 - British mengambil alih Melaka daripada Belanda.

Kurun ke-19
1806 - British membuat rombakan terhadap segala tinggalan Portugis di Melaka. Meraka telah merancang untuk memindahkan pusat perdagangan dan populasi ke Pulau Pinang untuk melemahkan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan.

1808 - Ketibaan Stamford Raffles menyelamatkan Melaka daripada kejatuhan yang teruk.

1818 - Dengan berakhirnya Perang Napoleon, Melaka kembali kepada pemerintahan Belanda di bawah perjanjian Venice.

1819 - Sultan Hussain Mohammad Shah dari Johor menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Kemudian makam sultan diletakkan di kawasan Masjid Tengkera.

1824 - Perjanjian Anglo-Belanda atau Perjanjian London meletakkan Melaka di bawah pemerintahan British.

1826 - Perjanjian Selat ditandatangani, yang mana Pulau Pinang, Singapura dan juga Melaka di jadikan Negeri-negeri Selat yang berada dalam sistem pentadbiran yang sama.

1867 - Pentadbiran Negeri-negeri Selat dipindahkan daripada Gabenor - ketua jabatan di India kepada Pejabat Kolonial di London dan Melaka menjadi tanah jajahan British.

1895 - Penanaman getah secara ladang dilakukan oleh Tan Chay Yan di Bukit Lintang, Melaka.

Kurun ke-20
1904 - Permaisuri Victoria datang untuk memperingati Jubli Intan Seri Paduka Baginda

1942 - Jepun menjajah Melaka.

1945 - Melaka telah dikembalikan kepada pemerintahan British selepas Jepun menyerah kalah kepada British di Singapura.

1948 - Komunis menyerang dan menguasai Malaya selama 14 hari. Pihak British mengisytiharkan darurat dan situasi ini berakhir pada tahun 1960.

1956 - Perisytiharan Hari Kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaya yang pertama di Padang Banda Hilir (Padang Pahlawan), Melaka pada 20 Februari. Dalam tahun yang sama, Melaka menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara merdeka.

1957 - Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos. Komisioner Residen British, H.G. Hammet menyerahkan dokumen kemerdekaan kepada gabenor tempatan yang pertama.

1963 - Pembentukan Malaysia pada 16 September. Melaka menjadi sebahagian daripada Malaysia. Singapura, Sabah dan Sarawak juga menyertainya.

1989 - Melaka telah diisytiharkan sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April.

Ini adalah dengan lebih jelas. Maklumat ini saya perolehi daripada laman web Melaka sendiri iaitu http://www.melaka.gov.my/index.php/bm/mengenai-melaka/sejarah-melaka.html
Tujuan saya post supaya kita lebih bermaklumat.

Mari Dengarkan Syair Sejarah Melaka

Keindahan Seni dan Kebudayaan Melayu tidak dapat dinafikan. Banyak keunikkan kebudayaan Melayu kita yang penuh dengan keunikan dan kelembutan. Bagaimana modennya kita, keunikan melayu untuk berhibur tetap kita hargai. Dengan menggunakan medium tradisional inilah, masyarakat Melayu kita berhibur. Dengan cara bersyairlah mereka menyampaikan maklumat dan penceritaan untuk generasi kita. Bersama-sama kita hayati syair mengenai Sejarah Melaka

Menarik untuk ditonton Sejarah Melaka

Mari kita saksikan video yang menceritakan asal usul nama Melaka setelah kita membaca sejarah Melaka.
Mungkin ini lebih menarik minat anda.
Selamat menonton.

ASAL USUL NAMA MELAKA
Asal usul nama Melaka dikaitkan dengan pokok Melaka dan Pelanduk. Menurut Sejarah Melayu, Parameswara telah melihat peristiwa pelanduk menendang anjing pemburuannya semasa baginda sedang berehat di bawah pokok Melaka. Nama Melaka juga dikatakan berasal daripada kata Arab iaitu 'Mulaqah' yang bermaksud 'pertemuan' dan 'Malakat' yang bermaksud 'perhimpunan segala dagang'. Dalam bahasa Sanskrit pokok Melaka dikenali sebagai 'Amalaka'. Menurut mitos Hindu, Amalaka ialah pokok pertama yang tumbuh di alam semesta.

Tuesday 8 May 2012

PENGASASAN KESULTANAN MELAYU MELAKA

PARAMESWARA PENGASAS KESULTANAN MELAYU MELAKA

Parameswara dan pengikutnya tiba di sebuah perkampungan nelayan yang didiami oleh orang Melayu, orang Laut dan orang Asli. Semasa berehat di situ beliau telah menyaksikan satu peristiwa pelanduk menendang anjing perburuannya semasa beliau sedang berehat di bawah pokok Melaka. Beliau telah memilih tempat itu untuk mendirikan kerajaannya. Tempat itu dinamakan sebagai Melaka bersempena nama pokok tempat beliau berehat. Tempat itu juga dipilih kerana berhampiran dengan laut, yang mana ianya sesuai untuk menjadi laluan kapal dagang dan mudah untuk mendapatkan bekalan air bersih. Selain itu, tempat itu dianggap sesuai kerana bentuk muka buminya yang berbukit bukau sesuai untuk dijadikan petunjuk bagi pelayar-pelayar. Deretan pokok bakau dan api-api yang terdapat di  persisiran pula sesuai dijadikan benteng pertahanan dan perlindungan semula jadi. Tempat itu juga didapati terlindung daripada tiupan angin monsun, secara tidak langsung aktiviti perdagangan tidak akan terganggu.